Tuesday, July 22, 2014

Syawal; Bagaimana meraikan kemenangan hakiki?

Assalamualaikum,

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah di mana semua perkara menjadi mudah. Kita mudah untuk solat berjemaah di surau atau masjid, berkongsi nikmat yang diberikan kepada kita, menghabiskan satu juzuk Al-Quran dalam satu hari dan hari-hari seterusnya, malah, mudah untuk menghafal surah-surah yang ada di dalam Al-Quran. Sehinggakan kita merasakan bahawa kita telah hidup dan beramal dengan sangat cemerlang.

Beberapa hari sahaja lagi ucapan sayonara Ramadhan akan diucapkan. Pada hari pertama Syawal, kita akan sibuk dengan kedatangan ahli keluarga, aktiviti ziarah menziarah, dan pergi ke rumah rakan-rakan. Persoalannya, di manakah hilangnya masa untuk solat berjemaah di rumah Allah? Di manakah hilangnya keupayaan kita untuk menghabiskan satu juzuk satu hari?

Dalam menghadapi bulan Syawal, perlu kita sedar bahawa kemenangan hakiki apabila amalan-amalan 'hebat' kita di bulan Ramadhan akan dapat diteruskan malah ditingkatkan ke satu tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Ustaz Nouman Ali Khan dalam videonya berkata, "30 days (Ramadhan), Allah puts syaitan away and He allows us to train ourselves to get stronger. Then, the days are over and you will be facing the real danger outside and the real enemy, the syaitan."

Kita perlu tanya diri kita semula sama ada keluarnya kita dari bulan Ramadhan kita akan menjadi orang yang berjaya atau tidak. Amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan masih diteruskan atau tidak. Jika tidak, latihan atau modul-modul yang kita pilih semasa Ramadhan rugi begitu sahaja. Oleh itu, apakah langkah-langkah yang perlu kita buat seusai Ramadhan.

1. Kita perlu meningkatkan usaha menambah kualiti amalan kita. Sebagai contoh, amalan solat berjemaah. Jika sebelum ini kita sampai ke masjid apabila iqamah dilaungkan, maka kita ubah dan paksa diri kita untuk berada di masjid sebelum azan dilaungkan supaya kita ada masa untuk solat sunat dan membaca Al-Quran.

2. Melakukan pemeriksaan terhadap mutaba'ah amal kita ketika Ramadhan supaya semua pekerjaan baik itu tidak terbengkalai. Bersungguh-sungguh pada awalnya, tetapi makin perlahan atau terus ditinggalkan apabila Ramadhan sudah tiada. Ini adalah penyakit. Senarai amalan kita mestilah berterusan walaupun Ramadhan sudah habis.

3. Perlu ada satu usaha untuk memperbaiki tahap keimanan dan ketakwaan kita dari semasa ke semasa. Dengan mendekatkan diri dengan Al-Quran dan rajin membaca terjemahannya maka rahmat Allah itu akan sentiasa bersama kita.

Kesimpulannya, Ramadhan adalah bulan latihan bagi Muslim supaya bersedia menghadapi dugaan selepasnya. Jika amalan-amalan baik makin berkurang maka segala usaha kita di bulan Ramadhan hanyalah semata-mata kita takut dengan azab Allah atau lebih teruk lagi kerana orang lain pun puasa, mak ayah kita puasa dan kita hanya ikut arus sedangkan perkara yang lebih utama adalah redha dan rahmat Allah. Supaya kita menjadi insan yang berjaya apabila tibanya Syawal. Akhir kata, mari kita renung dan hadam hadis ini bersama-sama, InsyaAllah.

"Rugilah sesiapa yang mendapat Ramadhan tetapi tidak diampunkan oleh Allah Azza Wajal ke atasnya" (Riwayat Bukhari)

Wallahua'alam.

No comments:

Post a Comment